×
×

[Astro Awani] – Selepas ‘diancam’ Uber, Grabcar; Dacsee kini penyelamat industri teksi

" width="590" height="400" /> Alexander melihat platform yang berasaskan komuniti itu dapat meningkatkan tahap perkhidmatan yang lebih di kalangan pemandu teksi. – Foto Fail

PETALING JAYA: Selepas kewujudan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar, kini muncul pula Dacsee yang dilihat akan merancakkan lagi sektor perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Diwujudkan bukan sebagai pesaing teksi, sebaliknya platform itu berperanan sebagai perkhidmatan yang mampu menyelesaikan isu membabitkan pemandu dan pemilik syarikat teksi.

Teknologi yang diperkenalkan Dacsee mampu membantu pemandu dan pemilik syarikat teksi untuk meningkatkan pendapatan menerusi komuniti pelanggan yang lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Decsee, Alexander Von Kaldenberg melihat platform yang berasaskan komuniti itu dapat meningkatkan tahap perkhidmatan yang lebih berkesan dalam kalangan pemandu teksi apabila mereka akan dinilai dan diiktiraf pengguna.

“Penilaian ini penting dalam memastikan industri teksi di negara ini lebih kompetitif dan profesional, sekaligus mencapai tahap penyediaan perkhidmatan yang mampu menepati kehendak pengguna.

“Penggunaan teknologi ini akan menjadikan mereka lebih berkembang di mana sebelum ini mereka hanya bergantung kepada apa yang syarikat berikan," katanya.

Syarikat teksi juga digalakkan menggunakan platform ini di mana ia memberi peluang kepada mereka meraih komisen melalui penyertaan pemandu.

“Katakanlah anda ada syarikat teksi, jadi kita boleh berbincang mengenai perkara ini termasuk untuk merekrut pemandu anda.

“Sebagai pulangan kami akan berikan semua peratusan daripada tambang kepada syarikat teksi. Kita nak pastikan pemandu dan syarikat teksi turut sama-sama menerima keuntungan," katanya.

Malah, Ketua Pegawai Operasi Decsee, Lim Chiew Shan akui pelbagai latihan akan diberikan kepada pemandu walaupun ketika ini pemandu teksi kurang mahir menggunakan teknologi dan aplikasi.

“Seperti di Thailand, industri pelancongan mereka sangat pesat. Jadi kami berikan latihan kelas Bahasa Inggeris kepada mereka.

“Kalau di Malaysia, kita juga akan buat latihan mingguan menerusi wakil yang dilantik. Permulaannya mungkin susah, tetapi ia akan menjadi kebiasaan," jelasnya.

Walaupun platform ini akan dilancarkan secara rasmi pada April depan, kini mereka telah mempunyai lebih 5,000 komuniti pemandu dan pengguna yang dijangka mencapai 50,000 pada April nanti.

Ketika ini, aplikasi itu masih belum wujud di Android dan App Store, lantaran pihak Dacsee masih merekrut pemandu dan penggunanya.

Bagi mengawal selia platform itu di negara ini, Dacsee menjalinkan kerjasama dengan rakan teknologi tempatan, DMD Technology Sdn Bhd.